Khamis, 16 Jun 2011

Dewan Pemuda PAS Petaling Jaya Utara

Dewan Pemuda PAS Petaling Jaya Utara


PDRM JANGAN JADI BUDAK SURUHAN UMNO/BN

Posted: 16 Jun 2011 12:37 AM PDT


KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasa amat dukacita di atas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang menyebut pihak Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk membuat tangkapan pencegahan sekiranya perlu, sebelum dan semasa perhimpunan BERSIH yang dijadual berlangsung pada 9 Julai depan. Perhimpunan BERSIH adalah satu Himpunan AMAN yang diketuai oleh beberapa NGO dan parti-parti politik daripada Pakatan Rakyat yang menuntut supaya pihak Kerajaan melaksanakan system pilihanraya di Malaysia secara bersih dan adil. Inilah harapan dan kemahuan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan pihak PDRM cuba menakut-nakutkan dan menyekat hak-hak rakyat Malaysia untuk bebas menyatakan hasrat mereka secara terbuka seperti yang termaktub di dalam perlembagaan Malaysia dengan mengeluarkan ancaman untuk melakukan tangkapan pencegahan tersebut. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menasihatkan PDRM supaya mencontohi pihak polis di UK yang membenarkan himpunan aman diadakan di negara mereka serta memberikan kawalan keselamatan secukupnya supaya himpunan tersebut dapat dijalankan dengan jayanya. Begitu juga pihak polis di Jakarta yang lebih 'mesra' pendekatan mereka terhadap peserta himpunan aman di negera meraka dengan memaklumkan kepada peserta himpunan aman di dalam media elektronik supaya berhimpun dalam keadaan aman, mengikut jalan-jalan yang telah disediakan untuk himpunan tersebut serta bersurai dengan tertib.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersetuju dengan pandangan yang diutarakan oleh YB Dato' Haji Mahfoz Omar, Naib Presiden PAS, Ahli Parlimen Pokok Sena, YB. Dato' Johari Abdul, Ahli Parlimen Sungai Petani dan Ahli Parlimen Jelutong, YB Jeff Ooi yang berpendapat bahawa pihak PDRM sepatutnya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada rakyat Malaysia yang akan hadir untuk menyertai Himpunan BERSIH kali ini dengan menyediakan anggota polis yang mencukupi bagi mengawal selia himpunan tersebut supaya berjalan dengan baik dan sempurna, menyediakan jalan-jalan yang sesuai untuk para peserta berarak dan berhimpun dengan aman. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga pihak PDRM akan mengambil tindakan yang lunak untuk berbincang dengan pihak penganjur program supaya himpunan ini dapat dijayakan dengan baik. Janganlah disebabkan tekanan daripada pihak-pihak luar yang takut kehilangan kuasa mereka disebabkan arus kebangkitan rakyat menentang kezaliman dan ketidakadilan maka PDRM mengambil satu tindakan yang silap yang boleh menghakis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti dan integriti mereka sendiri.

HASBULLAH MOHD RIDZWAN

KETUA DEWAN PEMUDA PAS

NEGERI SELANGOR

16 Jun 2011

Tiada ulasan:

Pengikut