Ahad, 26 Jun 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Bersih 2.0: Aktivis PSM, Suaram masih ditahan

Posted: 25 Jun 2011 09:05 PM PDT

KEPALA BATAS, 26 Jun: Sehingga awal pagi ini, 35 aktivis aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Suaram yang ditahan di Tol Sungai Dua sekitar pukul 3.30 petang semalam masih belum dibebaskan.
Mereka termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Jeyakumar Devaraj dalam rangka lawatan ke Sungai Ara, Pulau Pinang untuk menghadiri kempen Bersih dan 'Udah La.. Bersaralah!!' dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kepala Batas untuk disoal siasat.
Harakahdaily difahamkan sebenarnya rombongan yang bertolak dari Ipoh tengah hari semalam akan mengadakan lawatan ke beberapa lokasi di Pulau Pinang sebelum bertolak pula ke Perlis untuk menghadiri majlis yang sama pada malam ini.
Beberapa orang kepimpinan PSM, Suaram, PKR dan PAS turut berada di luar IPD sehingga larut malam menanti mereka yang ditahan dibebaskan namun semuanya hampa.
Antara kepimpinan PAS yang hadir ialah Yang Dipertua PAS Kepala Batas, Rosidi Husein, Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor, Ustaz Khalid Man, Ketua Penerangan PAS Kepala Batas, Osman Ayub, Ketua Penerangan Tasek Gelugor, Abdul Rahman Kasim, Ketua Cabang PKR Kepala Batas, Latif Abdullah dan ramai lagi.

Umno BN sangat bimbang 8 tuntutan Bersih

Posted: 25 Jun 2011 09:03 PM PDT

KUBANG PASU, 25 Jun: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan Umno BN sangat bimbang dengan lapan tuntutan Bersih 2.0 sehingga meningkatkan usaha menyekat rakyat hadir ke himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
Beliau mempersoal undang-undang yang dipakai Umno BN yang melarang rakyat memakai dan menjual baju kuning.
"Di Malaysia ini begitu ganas dan zalimnya pimpinan Umno, bila pakai baju kuning dan jual baju bersih dianggap satu kesalahan.
"Undang-undang mana yang mereka pakai? Ini satu bentuk keangkuhan kuasa dan tindakan terdesak kerajaan sebab mereka tengok kita minta pilihan raya Bersih.
"Ada mereka pertahankan kebersihan pilihan raya?" katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Khidmat Dun Bukit Kayu Hitam dan Pejabat PKR Kubang Pasu petang tadi.
Anwar yang juga ketua pembangkang berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa orang yang ditahan dan disoal siasat kerana memakai baju berlogo Bersih 2.0 malam tadi dan hari ini.
Beliau turut mendakwa pilihan raya di Malaysia tidak ada bezanya dengan pilihan raya di Mesir sehingga rakyat bangkit melakukan perubahan.
Katanya lagi, rakyat negara ini turut mahu melakukan perubahan terutamanya apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri mengakui wujudnya pertindihan daftar pemilih.
"Pilihan pilihan raya di Malaysia tidak ada beza dengan siapa yang boleh nafikan ada masalah daftar pengundi?
"Bukan sahaja PKR PAS lebih terperinci bawa kes ini yang saya lihat sendiri dari jauh. Ada ruang media yang bebas? Tidak ada.
"Apa beza pilihan raya Najib Tun Razak  dengan pilihan raya Hosni Mubarak di Mesir, tolong jelaskan.
"Mengapa rakyat dan dunia menyokong perubahan pilihan raya di Mesir dan adakah salah kita menuntut pilihan raya yang sama?" soalnya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.
Tambahnya, Pakatan Rakyat tidak menuntut pilihan raya untuk kepentingan mereka tapi demi rakyat.
"Kita tidak minta perubahan yang memihak kepada Pakatan Rakyat kita minta perubahan yang tunduk kepada peraturan dan ketelusan," katanya.
Mengulas mengenai tahanan dua mahasiswa yang terlibat dalam program masyarakat di Gebeng, Kuantan petang tadi, beliau menyifatkan ianya untuk menakutkan golongan muda.
"Dia akan tangkap sesiapa yang dilihat ke depan untuk menakutkan rakyat," katanya.

300 peguam sertai himpunan Bersih 2.0

Posted: 25 Jun 2011 09:02 PM PDT

SHAH ALAM, 25 Jun: Rakyat tidak bimbang untuk hadir dalam Himpunan Bersih 2.0 kerana lebih 300  peguam sedia membantu mereka jika berlaku sebarang tangkapan.

Untuk tujuan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menggerakkan bilangan peguam yang ramai kali ini memandangkan sambutan terhadap Bersih amat menggalakkan.

Ketua Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Negeri Selangor, Peguam Zainal Said berkata, ramai dalam kalangan peguam telah memberikan komitmen untuk hadir 9 Julai depan.

"Jangkaan kehadiran rakyat dalam Bersih 2.0 ini amat menggalakkan dan kita mempunyai kemampuan untuk menggerakkan seberapa ramai peguam yang kebanyakannya telah memberi komitmen," tegasnya.

Zainal juga adalah Exco JUHAM Dewan Pemuda PAS Malaysia merangkap Ketua Pemuda PAS Kawasan Kota Raja.

Beliau ditemui ketika memberikan khidmat nasihatnya kepada seorang Pemuda PAS Shah Alam ditahan polis hanya kerana memegang baju Bersih 2.0 berwarna kuning malam tadi.

Musfari Azmi, 27, ditahan jam 11.30 malam sebaik selesai mesyuarat sukaneka di Padang Jawa, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, dekat sini.

Sekitar jam 2 pagi beliau dibebaskan dan diraikan oleh sahabat pemuda pula dalam satu majlis ringkas berhampiran Pejabat Pemuda PAS Shah Alam, di Seksyen 7.

Turut serta adalah Setiausaha PAS Selangor, Peguam Mohd Khairuddin Othman, Timbalan YDP PAS Shah Alam, Haji Azli Yusof, Ketua Pemuda kawasan, Mohd Hilmi Radzuan dan Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Shah Alam, Jefri Zain.

Menurut Musafri, ketika beliau keluar sebaik selesai mesyuarat persiapan menganjurkan sukaneka di cawangan mereka, empat anggota polis berpakaian awam menahannya.

Mengikut Musafri Azmi, 27, beliau mengakui tidak biasa dengan tindakan polis cawangan khas (SB), terus menahan sebaik mengenal pasti terdapat lapan unit baju Bersih di tangannya.

Bendahari Pemuda Padang Jawa Petaling sambil berseloroh berkata kepada pihak polis ketika disoal siasat, tidak berbaloi beliau ditahan dari 11.30 malam hingga 210 pagi hanya kerana hendak menjual lapan helai baju yang hanya untung RM3.

Seriusnya, beliau sempat berhujah dengan anggota polis tentang sahnya Himpunan Bersih kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi.
Lalu, jelasnya, mereka meminta beliau menghuraikan pula apa definisi demokkrasi dan menyatakan apa itu Bersih serta tuntutan lapan perkara.

Lebih dari itu, ujarnya, soalan pihak polis lebih terarah kepada siapa pengedar baju dan penggerak Bersih.

Sementara itu, Peguam Khairuddin mendesak pihak polis agar bertindak mengikut undang-undang sedia ada kerana jika betul tindakan mereka, baharu rakyat dapat menerimanya dengan baik.

"Malang bila kita minta di bawah undang-undang mana pemuda kita ditahan, mereka tidak dapat menjelaskannya dengan baik dan terperinci.

"Kerana itu, saya juga menyeru rakyat agar hadir beramai-ramai dalam Himpunan Bersih 9 Julai kerana pihak polis tidak mempunyai hak untuk menahan sesiapa pun kerana himpunan kita aman," tegasnya.

Pakar Perlembagaan Malaysia, Dr Abdul Aziz Bari menyatakan polis tidak boleh membuat penghakiman awal berhubung himpunan itu  dan jika dilakukan juga, jelas mereka menentang undang-undang.

Paling teruk apabila ia bertentangan dengan hak yang dijamin dalam perlembagaan negara .

Katanya, mengikut Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, polis tiada sebarang hak melarang perhimpunan aman yang dijamin.

"Hatta mahkamah juga tidak boleh melakukannya," kata pensyarah undang-undang UIAM itu.

Sebelum itu, pihak polis juga menahan Timbalan Ketua AMK Pusat, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin atau Jonah di Uptown Shah Alam ketika menanti makanan sampai, minta kad pengenalan, digari dan dibawa ke IPD sama.

Beliau menyerahkan kepada Peguam Latheefa Koya yang turut hadir untuk mengambil tindakan undang-undang kerana menahan beliau kerana memakai baju Bersih tanpa sebarang alasan kukuh.

Pihak polis mengawal jalan masuk ke Uptown sejak jam 7 malam hingga jam 4 pagi kerana ada iklan di facebook menyatakan satu majlis Pra Bersih akan dilancarkan di situ.

Kawasan pentas yang selalunya diadakan program karaoke dan juga ceramah agama sebulan sekali itu ditalimerahkan oleh pihak keselamatan. IBH

Bersih: Umno diingat tidak libatkan Agong

Posted: 25 Jun 2011 09:01 PM PDT

KUALA LUMPUR, 25 Jun: PAS menyelar sikap pihak tertentu yang didakwa mahu menggunakan Yang di-Pertuan Agong bagi menghalang himpunan aman Bersih 2.0 di ibu negara pada 9 Julai ini.

Bercakap kepada Harakahdaily hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, tindakan tersebut adalah sangat tidak wajar kerana Agong merupakan tempat mengadu rakyat yang terakhir.

"Tidak sepatutnya pihak tertentu mengguna Agong untuk halang hak rakyat.

"Tindakan ini sangat tidak patut, kerana seluruh rakyat bernaung di bawah Agong dan berhak bertemu dengan baginda untuk mengadu sesuatu masalah", katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas desus yang mendakwa Umno sedang berusaha mendapatkan campurtangan Agong bagi menghalang himpunan Bersih 2.0 dari diadakan.

Himpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) itu sebelum ini mendapat kecaman khususnya dari pimpinan Umno BN.

Tidak hanya melalui kenyataan terbuka, kecaman sama juga dibuat semasa sesi perbahasan dalam Dewan Rakyat.

Himpunan tersebut yang dianggarkan disertai hampir 800 ribu orang, akan berarak ke Istana Negara dengan menggunakan warna tema pakaian kuning.

Selain bagi menjunjung institusi Diraja dan demokrasi, warna kuning itu juga sebagai lambang kebebasan, ketulasan dan keadilan.

Sehingga hari ini lebih 10 orang sudah ditahan dan diambil keterangan oleh polis kerana memakai dan menjual baju kuning bercetak "Bersih 2.0" kepada orang ramai yang bakal diguna pada perhimpunan itu nanti.

Ianya dilihat usaha pencegahan awal oleh pihak polis yang memberi amaran sebelum ini untuk membuat tangkapan awal.

"Kita mengharapkan bahawa perubahan yang dituntut rakyat ini diterima oleh SPR,"katanya.

'Ketua Umno SPR' didesak letak jawatan

Posted: 25 Jun 2011 09:00 PM PDT

KUALA LUMPUR, 25 Jun: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sekali lagi mengulangi desakannya agar Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar perlu meletak jawatan.

Desakan itu dinyatakannya hari ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui wujud "pengundi hantu" dalam rumah ibu Ahli Parlimen Gombak itu yang beralamat di Kg. Klang Gate Baru.

"Wan Ahmad Wan Omar cabar saya buktikan dakwaan wujud pengundi hantu. Saya buktikan dan SPR akui. Wan Ahmad wajib berundur," katanya.
Pada satu kenyataan media hari ini, Setiausaha SPR, Kamaruddin Mohamed Baria mengakui enam individu secara salah didaftar ke alamat rumah Ahli Parlimen Gombak itu.
Kamaruddin berkata, lima keturunan Cina dan seorang Melayu didaftar di alamat rumah Azmin dan mengakui senario itu berlaku di kawasan lain.
Mengakui juga SPR memiliki bidang kuasa terhad bagi mengatasi masalah itu, beliau meminta pengundi hantu di rumah Azmin dan kawasan lain supaya membuat penukaran alamat yang dipercayai berdasarkan alamat kad pengenalan.
Sebelum ini, Azmin dicabar Wan Ahmad agar membuktikan dakwaannya bahawa ada penipuan dalam daftar pemilih yang dikeluarkan SPR.

Wan Ahmad berkata, Azmin tidak bercakap benar dalam isu itu.

Menyahut cabaran itu, Azmin ketika berucap pada Konvenysen Pilihan Raya KEADILAN  minggu lalu kemudiannya mendedahkan rumah diduduki ibunya di Kampung Klang Gate memiliki 11 pemilih berdaftar iaitu enam Melayu dan lima Cina sedangkan ibunya tinggal berseorangan.

Nama yang didaftar di rumah ibunya ialah Mohamed Azmin Ali, Tan Teek Hock, Shamshida Taharin, Mohamed Azwan Ali, Lokman Abdul Rashid, Moufed Yazli Mohd Yazit, Aminudi Harun, Cgee Tom Yahaya, Tan Teek Fong dan Lim Hock Seng.

Bukti penyelewengan itu ujar Azmin berdasarkan daftar pemilih induk terbaru yang diwartakan 13 Mei lalu.

Sehubungan itu beliau mahu Wan Ahmad yang juga disifatkannya sebagai "Ketua Umno dalam SPR" meletak jawatan segera.

"Kekalkan Wan Ahmad Wan Omar di SPR adalah menghina institusi YDP Agong kerana institusi Raja adalah institusi yang mulia dan adil", tulisnya di Twitter.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyifatkan penipuan SPR itu sebagai "bodoh" kerana melibatkan rumah pimpinan tertinggi PKR.

Beliau juga turut mencabar Wan Ahmad meletak jawatan dan bertanding atas tiket Umno melawan Azmin di Gombak pada pilihan raya umum nanti.

Pembuktian itu juga jelasnya antara faktor kenapa Himpunan Bersih 2.0 yang dijadual 9 Julai ini wajar diadakan.

Tiada ulasan:

Pengikut