Pakatan Rakyat |
Posted: 30 Jun 2011 03:47 PM PDT "Saya menekankan supaya rakyat didahulukan kerana dalam sistem demokrasi berparlimen, suara rakyat adalah suara keramat." Dalam sekelip mata di bawah teraju beliau, Malaysia kembali ke era negara polis yang mewarnai pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad. Hanya kerana berlainan pendapat dengan pemerintah, maka suara 63 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) cuba dibisukan, manakala ruang bersuara untuk parti pembangkang disempitkan lagi. Rakyat yang memakai kemeja T dengan membawa logo BERSIH ditangkap, malah bendera Malaysia yang dibawa mereka untuk diedarkan kepada orang ramai juga dirampas. Ratusan ribu rakyat yang mahu turun menzahirkan keperluan untuk sistem pilihan raya diperbaiki supaya lebih adil dan telus, akan menghadapi serangan polis bersenjatakan belantan dan pancutan air berkimia pada 9 Julai. Malah BERSIH, menurut Umno-BN, akan memberi kesan teruk kepada ekonomi Malaysia jika tidak dibendung. Tembelang pecah Polis di seluruh negara digerakkan untuk menahan sesiapa sahaja yang memakai baju T dengan logo BERSIH dan merampas apa sahaja yang mengandungi logo itu. Akhirnya tembelang Najib "pecah". Sebaliknya beliau menunjukkan kecederungan menggunakan insitusi polis untuk meluntur malah memadamkan sebarang bantahan rakyat secara terbuka. Dasar ini kerap dilakukan di zaman Dr Mahathir dan kini berulang di era Najib. Justeru polis mula bertindak keras untuk membatalkan BERSIH. Tidak ada negara yang mendokong demokrasi mempunyai pasukan polis yang menangkap orang hanya kerana pakaian mereka tidak seiring dengan pemikiran kerajaan. Di sebalik semua tindakan polis terhadap penganjur dan penyokong BERSIH, apakah salah dengan tuntutan perhimpunan itu? Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Suhakam, sendiri tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap perhimpunan aman BERSIH, namun dukacita kerana pendapat badan ini tidak mendapat perhatian kerajaan. Sebuah pilihan raya yang adil dan telus akan memberi kelebihan kepada mana-mana parti yang menang pada pilihan raya umum akan datang untuk mendabik dada kerana meraih kejayaan yang "bersih" dan tidak mencurigakan. Amat berpengetahuan Tidak ada sesiapa boleh menafikan bahawa pada setiap pilihan raya, BN akan bermula dengan kelebihan yang begitu besar berasaskan kawalan penuh terhadap media arus perdana negara ini dan sumber kewangan negara serta kemudahan awam. Contohnya Utusan Malaysia, TV3, NTV7, TV9, New Straits Timesdan Berita Harian dikawal oleh Umno manakala The Star dikuasai MCA. Kelebihan ini umumnya diterima oleh Pembangkang dan Pertubuhan Bukan Kerajaan sebagai realiti politik negara, contohnya tidak mungkin Umno menyerahkan haknya untuk menentukan siapa Ketua Pengarang Utusan Malaysia mahupun Berita Harian. Justeru tuntutan utama NGO berkenaan menerusi BERSIH ialah supaya SPR mengatasi masalah-masalah ketelusan undi pos, penghapusan pengundi hantu dan pembersihan daftar pengundi. Justeru inisiatif 63 Pertubuhan Bukan Kerajaan ini harus disokong, bukan sahaja oleh Pembangkang tetapi juga oleh BN, yakni Najib sendiri. Najib ingin mencanang Malaysia sebagai sebuah negara dinamis di bawah dasar-dasar beliau yang pro-aktif dan berpaksi rakyat. Jika benar beliau mendokong prinsip itu, kenapa bertindak begitu zalim terhadap penganjur BERSIH? Tutup sebelah mata Jika Najib menyokong prinsip asas demokrasi, beliau sepatutnya turun bersama rakyat, tak kira sama ada mereka penyokongnya mahupun pembangkang , demi menzahirkan komitmennya kepada sebuah pilihan raya yang telus dan adil. "Kalau kita sebagai pemimpin turun bersama rakyat tanpa protokol, tanpa hamparan permaidani merah, tanpa bunga manggar, tanpa sambutan, duduk dengan rakyat, minum dan ambil kira serta ambil berat masalah rakyat, rakyat akan tetap bersama kita dan rakyat akan tetap memberi kuasa." Itu ucapan Najib pada satu majlis di Sabah tidak lama dahulu. Jika beliau mendokong kenyataannya itu, sudah tentu Perdana Menteri tidak bermasalah menyokong BERSIH. Beliau juga menutup sebelah mata dengan provokasi PERKASA dan Pemuda Umno menganjurkan siri demostrasi pada hari yang sama, semata-mata untuk mencetuskan keadaan tegang dan memberi alasan kepada polis untuk bertindak liar. Sayang – peluang Malaysia melangkah ke depan untuk menyubur dan mematangkan proses demokrasi negara disambut dengan tindakan pemerintah yang begitu keras dan jauh daripada bersih. ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.Wira Arjuna adalah nama samaran seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik. SUDAHKAH ANDA MENGUNDI? KALAU BELUM,SILA UNDI BIAQPILA SEKARANG...SEKALI-SEKALA,APA ADA HAL KAN? |
Posted: 30 Jun 2011 03:24 PM PDT KENYATAAN MEDIA NURUL IZZAH ANWAR AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI 29 JUN 2011 Kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Tan Sri Omar Din Mauju berkenaan dengan Himpunan BERSIH 2.0 menyebabkan saya rasa terpanggil untuk menyoal kredibiliti beliau selaku seorang Mahaguru yang disegani anak-anak buahnya. Saya amat mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli Seni Silat Lincah yang dikatakan seramai 1 juta ahli ke Himpunan BERSIH 2.0 kerana ini jelas termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap warganegara Malaysia untuk berhimpun secara aman. Bukan sahaja Ahli Seni Silat Lincah sahaja, bahkan semua anggota-anggota pertubuhan silat di Malaysia ini dialu-alukan untuk hadir dan turun bersama bagi menuntut pilihanraya bersih dan adil di tanahair kita yang tercinta ini. Yang menjadi kekesalan saya adalah apabila seseorang yang mendapat gelaran "Mahaguru" mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap sebagai satu amaran yang tidak bertanggungjawab seperti berikut: "Sebagai pengamal silat, saya tidak boleh memberikan jaminan kami hanya akan melaung dan membantah sahaja. Jadi sekiranya tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku, lebih baik batalkan hasrat untuk menganjurkan perhimpunan haram tersebut" Sewajarnya sebagai seorang "Mahaguru" menampakkan 'kebersihan' peribadi diri dan bukan memberikan amaran yang menjurus kepada provokasi sebelum sesuatu himpunan diadakan. Tambahan lagi, seorang "Mahaguru" sebenar tentunya boleh mengawal anak-anak buahnya sebelum melemparkan cabaran atau arahan kepada pihak luar. Sikap yang ditunjukkan oleh seorang "Mahaguru" ini tidak langsung mencerminkan 'kebersihan' peribadi dan amaran seperti ini sewajarnya diambil serius oleh pihak Polis; sebaliknya yang dilihat adalah tekanan terbuka dan gangguan yang dikenakan menerusi tindakan polis terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, dan juga badan-badan bukan kerajaan yang mempromosikan kebebasan bersuara secara aman. Saya yakin dan percaya, Himpunan BERSIH 2.0 adalah himpunan yang tentunya akan selamat jikalau tindakan-tindakan provokasi seperti yang dilakukan oleh Pertubuhan Silat ini dihentikan serta merta. Marilah kita berlagak lebih sebagai pendekar yang bertanggungjawab selaku khalifah di bumi Allah ini, bukannya pengecut yang lebih suka mengeluarkan ugutan kepada mereka yang mungkin berlainan fikrah atau pandangan daripada kita. Lampiran 1 Kenyataan dari Pemimpin Pertubuhan Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia [PSSLM] ; Sejuta ahli persatuan silat akan turun padang bagi membanteras sekeras-kerasnya Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9hb. julai, 2011 ini. Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia [PSSLM], Tan Sri Omar Din Mauju memberikan kenyataannya dalam satu sidang akhbar berhubung pandangannya mengenai Perhimpunan BERSIH 2.0 semalam. 1. Adalah menjadi tanggungjawab Pengamal Seni Silat untuk mempertahankan negara sejak zaman pemerintahan Melaka lagi dan mereka tidak akan teragak-agak untuk bertindak keras ke atas golongan yang cuba menimbulkan kekacauan dan huru hara. 2. PSSLM mempunyai sejuta ahli dan kami akan turun pada 9hb. Julai, 2011 jika Ambiga masih meneruskan Perhimpunan BERSIH 2.0 seperti yang dirancang. 3. Kami sebagai Golongan Pengamal Silat merupakan pelindung kepada negara dan Sultan sejak beratus tahun lalu tidak akan berdiam diri. 4. Sekira kami tidak mengambil apa-apa tindakan maka kami akan dianggap dayus. 5. Saya akan mengetuai pasukan ini walaupun dengan berkerusi roda dan akan berada di barisan paling hadapan. 6. Ambiga dinasihatkan supaya membatalkan perhimpunan ini jika tidak, Omar Din bimbang dia tidak dapat mengawal perasaan dan emosi anak-anak buahnya pada perhimpunan itu kelak apabila mereka bertembung. 7. "Sebagai pengamal silat, saya tidak boleh memberikan jaminan kami hanya akan melaung dan membantah sahaja. Jadi sekiranya tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku, lebih baik batalkan hasrat untuk menganjurkan perhimpunan haram tersebut" kata Omar Din lagi. |
You are subscribed to email updates from Pakatan Rakyat To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |