Jumaat, 29 April 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


NUKILAN BUAT DSAI - FITNAH MEHNAH PERJUANGAN

Posted: 29 Apr 2011 01:14 AM PDT

26 Jamadil Awal 1432 H | 29 April 2011

Saya tak tahu apa yg nak dikata dan nak diluahkan apabila mengenangkan akibat yang sedang ditanggung oleh DSAI dan keluarga. 11 tahun beliau diaibkan dan satu demi satu tuduhan dikenakan ke atas beliau, dan keluarga semata-mata kerana beliau berada di pihak pembangkang.

Andainya ia berada di pihak BN, tentulah ia akan dilayan macam tiada apa yang berlaku. Lihat saja Presiden MCA yg mengaku melakukan aksi tak bermoral, langsung tak disiasat dan tiada sebarang dakwaan pun. Demikian juga Razak Baginda, tiada rayuan dibuat dan beliau kini bebas lepas.

Tekanan ini bukan perkara baru dalam sejarah dunia. Firaun pernah melakukannya ke atas Nabi Musa dan pengikutnya yg beriman. Bahkan tukang sihir Firaun yg asalnya adalah petugas yang berusaha untuk menjatuhkan Nabi Musa, ia dilayan, disanjung tetapi bilamana tukang sihir melihat kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa mereka kemudiannya beriman dengan Allah. Maka bermulalah penentangan dan penindasan sehingga mereka disalib pada kayu salib, mereka diseksa dengan kaki tangan mereka dipotong secara bersilang. Firaun menyeksa mereka dan setelah segala rayuan dan tangisan tidak dipedulikan, akhirnya yang keluar dari mulut mereka ialah "Hukumlah apa yg kamu ingin lakukan, kerana kamu hanya berkuasa di dunia ini sahaja".

Kini Anwar secara peribadi menjadi mangsa tuduhan. Beliau belum tentu bersalah tetapi kini bukan mahkamah diminta untuk buat keputusan sebaliknya media membuat tayangan, blog memainkan sentimen dan akhbar perdana membentuk minda pembaca agar menjadi hakim dalam perkara yg telah dirancang, disusun dan diedit agar sesuai dengan kehendak pemimpin BN. Mereka mengambil pendekatan agama (bersumpah) dalam perkara yang salah, agar dengannya rakyat yakin.

Bagaimana nantinya kalau dibuktikan bahawa ia bukan sebagaimana yang dituduh? Keaiban telah berlaku, dan ada yang bertanya, "Kalau betul, bagaimana?"

Saya berpegang kepada kaedah asas bahawa sesuatu tuduhan pada peringkat awal adalah tidak benar, melainkan dibuktikan benar. Maknanya dalam keadaan sekarang ia berada pada tahap tidak benar. Kenapa diaibkan sebegitu. Kerana 'kalau benar' akan dibuktikan kemudian.

Bagaimana pula yang membuat tuduhan sanggup bersumpah? Saya ingin agar kita lihat siapa yg membawa wanita itu, siapa yang sedia bilik, siapa yg merakam, siapa yang ada bersama waktu kejadian dan melihat kemungkaran itu. Apakah orang begini boleh menggunakan nama Allah untuk bersumpah, minta Allah agar buktikan?

Dia sepatutnya menentang kemungkaran sebelum berlaku, mencegahnya bukan menyediakannya. Kalau dia seorang Islam dia harus faham bahawa dia mesti bertindak menyekat kemungkaran, bukan memberi ruang dan menyediakan agar berlaku kemungkaran. Kepada saya siapa yg melakukan itu, kalaupun tidak dapat dibuktikan di dunia nanti, di Akhirat akan terbukti jua!

Kepada DSAI dan keluarga, saya menyeru agar bersabar di atas ujian berat ini, dan ambil kaedah yang Rasulullah s.a.w sarankan : "Jangan kamu cuba lawan gelombang waktu tengah-tengah membuak, jangan lari kerana orang akan membenarkannya, dan sabarlah sehingga Allah membersihkannya".

Peristiwa fitnah ke atas Aisyah dan Safwan berlanjutan sehingga 40 hari baru Allah turunkan ayat membersihkan Aisyah, sedangkan Allah boleh menyegerakan ayatnya. Namun para mufassurin menjelaskan sengaja Allah membiarkan 40 hari agar zahir siapa munafik, siapa nuknib, siapa pembela, siapa musuh dan siapa sebenarnya sahabat.

Dekatkan diri kepada Allah kerana Allah Maha mendengar rayuan hambaNya. Wassalam

Bagusnya jika Najib umum royalti hak rakyat T’ganu

Posted: 29 Apr 2011 01:13 AM PDT

KUALA TERENGGANU, 29 April: Alangkah bagusnya pada akhir sesi lawatan kerja Datuk Seri Mohd Najib Razak ke negeri ini mengumumkan bahawa royalti adalah hak rakyat Terengganu dan rakyat seharusnya menikmati hak mereka dengan sebaik mungkin.
Sehubungan itu, Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri ke Terengganu, esok.
Pengerusi Mampat, Mohamad Fauzi Abu Samah percaya kedatangan Najib adalah bukti komitmen dan kesungguhan beliau dalam melaksanakan apa yang dikatakan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".
Katanya, kesungguhan yang ditunjukkan tersebut bukan sekadar datang menjenguk, tetapi katanya mahu mendengar suara akar umbi rakyat di Terengganu, khususnya di Pekan Batu Enam, di Manir, Kuala Terengganu dan golongan muda melalui pertemuan dengan rakan Facebook yang dijadualkan pada petang hari tersebut.
Untuk itu, katanya Mampat mewakili suara rakyat Terengganu bagi semua golongan mengambil kesempatan di atas keprihatinan Najib mendengar rintihan rakyat Terengganu untuk mengembalikan semula 'hak dan maruah' mereka yang telah dinafikan selama 11 tahun.
"Kembalikan royalti kami kerana ianya adalah lambang 'hak dan maruah' kami yang telah dinodai'
"Dalam kesempatan ini juga, Mampat ingin mengingatkan rakyat Terengganu umumnya dan kepimpinan Terengganu pada hari ini tentang janji-janji yang pernah disebutkan Najib berkenaan royalti minyak Terengganu," ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Untuk makluman perdana menteri, katanya pada 13 Disember 2010 lalu, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan bahawa Mac 2011 adalah tarikh yang diberikan kerajaan pusat untuk membayar kembali royalti sepenuhnya setelah perundingan dilaksanakan olehnya.
Namun, ujarnya sehingga hari ini tiada sebarang khabar berita mengenainya walaupun bulan Mei 2011 menjelang tiba.
"Ini adalah janji kali keempat yang pernah diberikan. Rakyat Terengganu tidak akan lupa janji-janji yang telah dibuat oleh pimpinan Pusat untuk mengembalikan royalti kami," katanya.
Beliau turut mengimbau kembali jalinan janji yang pernah diberikan kepada rakyat Terengganu sebelum ini.
Katanya, pada 14 Jun 2008, Perdana Menteri pada masa itu iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) mengumumkan bahawa royalti akan dikembalikan kepada rakyat Terengganu di mana pengumuman itu dibuat di Hotel Primula.
Tambahnya, rakyat Terengganu tidak pernah lupa bagaimana Ahmad Said dan rakyat Terengganu ditipu oleh Najib apabila menerima replika cek pada 13 Disember 2008 berjumlah RM408.6 juta yang dikatakan bayaran royalti minyak separuh kedua 2008.
Dalam majlis berkenaan, katanya Najib menyebut seolah-olah selepas ini semua wang royalti akan dimasukkan terus ke akaun kerajaan negeri.
Bagaimanapun, ujarnya hakikat sebenar tidak berlaku seperti yang dinyatakan.
Selain itu, katanya pada 13 Disember 2010 lalu, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, Ahmad telah mengumumkan bahawa Mac 2011 adalah tarikh yang diberikan kerajaan pusat untuk membayar kembali royalti sepenuhnya setelah perundingan dilaksanakan oleh pihak menteri besar itu.
"Atas kesedaran yang sama, Mampat menyeru semua pihak sama ada kerajaan negeri, mahupun rakyat Terengganu untuk terus bertanyakan hak rakyat Terengganu ini yang seolah-olah sengaja cuba dilupakan," katanya.
Beliau menambah, jika peluang sebaik kedatangan Najib itu tidak digunakan, Mampat percaya ruang lain yang ada sangatlah terbatas, hendak diharapkan respons pada laman Facebook Najib, sudah tentu ia seumpama mimpi sahaja.
Untuk makluman, jelasnya sehingga Mac 2011 yang lalu, genap sudah 11 tahun Kerajaan Pusat menafikan hak rakyat Terengganu menikmati royalti Minyak.
"Rakyat Terengganu sudah terlalu letih menunggu buah yang tidak gugur. Jangan nanti sehingga rakyat terpaksa menjolok buah yang tidak gugur tersebut dengan cara yang lebih keras.
"Cukup-cukuplah penghinaan yang kami terima, cukup-cukuplah janji-janji kosong yang kami terima, cukup-cukuplah mencuri hak rakyat Terengganu," katanya.

Tiada ulasan:

Pengikut